Saturday, 16 June 2012

SEDERAP LANGKAH

Di Sini Bermula..Namun Tidak Berakhir di Sini..
Pergi Dengan Harapan..Pulang Dengan Kejayaan...


Wahai anak-anak asuhan jiwa
Izinkan aku
Singgah di halaman hidupmu
Aku telah mengembara 
Menguak
Ranjau-ranjau kepayahan
Merintih jalan ke puncak kejayaan

Lihatlah di kendonganku ini
Ada bejana berisi ilmu
Manis berseri
Payah kukutip
Di sepanjang perjalanan
Mari berkongsi
Akan keberi sepenuh keikhlasan

Harapanku
Wahai anak didik pewaris citaku
Biarlah titisnya membasahi mahkota fikiranmu
Moga dinginnya dapat mengundang sedar
Mengusik bibir penuh bermakna

Setengah pemberian yang kupaksakan
Usah kau telan dengan kebencian
Kerana manisnya
Tak pernah bertukar menjadi kepahitan dahaga
Buat bekalan perjalananmu
Yang entah ke mana

Anak-anakku tumpangan kasih
Lembayung senja kian membayangi
Penghujung perjalanan yang kau susuri

Namun
Dari kejauhan kelak
ingin kutoleh mengutip persada duniamu
Akan gemilangkah sinar mentari pagi
Atau hanya mendung membungkam suasana?

Selamat melangkah anak-anak harapan
Pulanglah dengan bejana tepu
Di sini ada doa restuku
Di sini anak bangsamu menunggu..

Salam sayang dari guru-guru SAKEM ..buat anak-anak SAKEM..