SALAM INSPIRASI


Melonjakkan Transformasi Pendidikan Agama

Salam ukhwah buat sahabat seperjuangan dan anak-anak didik yang telah memberikan sokongan dan dorongan yang padu buat menjernihkan usaha melahirkan blog sekolah yang dinanti.

Dalam mengharungi era ledakan dan teknologi maklumat masa kini, Unit ICT SAKEM berusaha mengoptimumkan segala sumber yang ada dalam proses mewujudkan blog sekolah ini. Ribuan terima kasih kepada pihak sekolah di atas kepercayaan yang telah diberikan. 

Laman ini merupakan wadah untuk merakamkan segala aktiviti, pencapaian sekolah, makluman semasa dan segala hal yang berkaitan dengan SAKEM. Dunia kini seolah-olah tidak mempunyai sempadan malah telah menjadi suatu perkampungan global. Konsep perkampungan global ini telah memungkinkan aliran maklumat bergerak bebas dari utara ke selatan dan dari timur ke barat. Demikian halnya persaingan kian menjadi sengit dan kecekapan memperolehi maklumat serta ilmu pengetahuan menjadi faktor penting dalam menuju kejayaan. 

Penggunaan teknologi dalam transformasi pendidikan sudah tidak dapat dikesampingkan lagi. Namun demikian, dalam keghairahan kita mengejar teknologi maklumat, kita perlu ingat bahawa maklumat semata-mata tidak akan memberi makna kepada seseorang tanpa pemerolehan ilmu. Ilmu memerlukan maklumat yang benar agar dapat memberikan manfaat kepada pemiliknya. Dalam hubungan ini, semangat dan pegangan Falsafah Pendidikan Agama Negeri Johor amat perlu dipertahankan. 

Akhir bicara, segala yang baik itu datangnya dari Allah, segala kelemahan lahirnya dari diri sendiri. Sesungguhnya tanpa sumbangan dan sokongan yang diberikan, siapalah kami untuk merencanakan halaman. Rasa epresiasi yang tidak terhingga jua kepada para pendidik SAKEM yang menjadi sumber inspirasi dan pendorong pelajar. Tanpa kalian, cahaya kegemilangan SAKEM tidak akan bersinar. Moga blog sekolah ini memberi manfaat dan diabadikan dengan seribu memori yang menggamitkan perasaan seluruh warga SAKEM. 


 Salam Inspirasi,
Azmah binti Kiar